Hebat! Wanita Melayu Pertama Baca Berita Bahasa Mandarin Raih Perhatian. – Lubuk Viral

Siapa sangka wanita bertudung litup ini,  Rasyidah Abu Johan, 34, rupanya penyampai berita di RTM saluran TV2 dalam bahasa Mandarin.

Lebih istimewa, Rasyidah merupakan wanita Melayu pertama yang menggalas tanggungjawab membaca berita Mandarin di saluran berkenaan.

VIDEO:

@bellawaverly

♬ bunyi asal – Bella Waverly – Bella Waverly

FASIH BERTUTUR BAHASA MANDARIN SEJAK KECIL

Menceritakan latar belakangnya, Rasyidah berkata, dia fasih bertutur dalam bahasa Mandarin kerana mendapat pendidikan di sekolah Cina sejak darjah satu hingga tingkatan enam seterusnya seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Ketika kecil, saya pernah memasuki kelas piano dan majoriti muridnya berbangsa Cina. Itu sebabnya saya meminta ibu mendaftarkan saya ke sekolah Cina kerana mahu belajar bahasa Mandarin.

“Pergaulan dengan mereka ketika di sekolah yang membuatkan saya fasih namun saya hanya bertutur dalam bahasa itu ketika menjalankan perniagaan dalam talian dulu kerana di awal kerjaya iaitu pada 2011 saya ditempatkan di meja berita am sebelum beralih ke unit bisnes saluran bahasa Melayu.

“Menyedari kelebihan itu, pihak pengurusan menawarkan saya menyertai unit berita am saluran Mandarin dan saya sahut cabaran itu kerana menganggapnya kesempatan mempraktikkan pengetahuan yang ada,” katanya ketika ditemui di Studio NSTP, hari ini.

AMANAH PEMBACA BERITA

Menurutnya, selepas sekian lama bertugas sebagai wartawan penyiaran di unit berita Mandarin, dia akhirnya diberi kepercayaan menjadi penyampai berita di saluran berkenaan.

Pada mulanya, Rasyidah berkata, dia tidak yakin menerima cabaran itu tetapi mendapat keyakinan hasil galakan daripada keluarga dan wartawan penyiaran serta penyampai berita, Ivan Toh yang mencadangkan namanya kepada pihak pengurusan.

“Sebelum ini, skop kerja saya di belakang tabir iaitu membuat liputan, menulis berita, skrip dan ‘voice over’ dalam bahasa Mandarin .

“Namun, sebaik ditawarkan sebagai penyampai berita, saya jadi gementar hingga timbul rasa ragu-ragu dengan kebolehan diri pada awalnya kerana bimbang tidak dapat capai apa yang orang harapkan.

“Akhirnya, saya ketepikan perasaan itu selepas mendapat sokongan keluarga, pengarang, rakan setugas dan guru Mandarin yang mempercayai saya,” katanya.

Menceritakan pengalaman kali pertamanya di hadapan kamera, Rasyidah mengakui gugup tetapi cuba fokus bagi membolehkan dirinya dapat menyampaikan berita ditulis rakan setugas dengan lancar.

“Memang gementar sebelum masuk ke studio tetapi saya cuba kosongkan fikiran dan tetapkan matlamat untuk menyampaikan berita dengan cara yang paling bagus.

“Alhamdulillah, banyak maklum balas diterima malah saya tidak sangka video itu mendapat perhatian selepas dimuat naik di laman sosial berita RTM.

“Ada warganet memuji sebutan saya jelas dan tidak kurang juga meluahkan rasa kagum melihat kebolehan saya membaca berita bahasa Mandarin walaupun berbangsa Melayu,” katanya.

Rasyidah berkata, masih ada lagi ruang untuk diperbaiki dan dia berharap kemunculannya diterima seterusnya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kebolehan seseorang.

“Sebenarnya, saya tidak sangka akan sampai ke tahap sekarang tetapi bersyukur dengan peluang diberikan kerana sekurang-kurangnya, saya dapat memenuhi hajat kedua ibu bapa.

“Diharap, apa yang saya lakukan ini dapat mengubah persepsi masyarakat untuk memandang sesuatu dari sudut positif memandangkan kita tinggal dalam masyarakat majmuk,” katanya.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LV

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lubuk Viral

Sumber: keluarga