Padah beli cermin murah, gadis takut tengok muka sendiri… teringat satu makhluk aneh – “Nak betulkan tudung lagilah tak boleh”

KETERUJAAN seorang gadis untuk berhias di hadapan cermin baharu terbantut apabila cermin tersebut memberikan refleksi yang ‘menakutkan’.

Menerusi satu klip video yang dikongsikan di laman sosial, wajah gadis berkenaan kelihatan manis tersenyum sewaktu membuat rakaman awal di bahagian bawah cermin itu.

Namun, wajahnya kelihatan aneh sebaik rakaman dialihkan ke bahagian atas cermin yang ditampal pada sebuah almari kayu.

Gadis berkenaan, Siti Mashitah Zul Atfi memberitahu, cermin yang dibeli secara dalam talian itu diterimanya pada minggu ini untuk digunakan pada almari di bilik asramanya.

Perkongsian di laman Twitter menjadi tular.

Pelajar Kolej Matrikulasi Melaka di Masjid Tanah, Alor Gajah di Melaka itu berkata, dia pada awalnya tidak menyedari keadaan cermin tersebut sebaik membuka bungkusan.

“Cermin yang saya beli tu ada tiga keping. Di bahagian belakangnya dipasang dengan pelekat, manakala di bahagian hadapan ditutup dengan satu lapisan seperti pelindung.

“Jadi, saya tampal dahulu tiga keping cermin pada pintu almari. Dengan harapan, nanti saya mudah untuk berhias, pakai tudung dan mekap depan cermin,” katanya kepada mStar.

Namun, sangkaannya meleset sebaik membuka lapisan pelindung apabila mendapati terdapat kesan retak pada salah satu kepingan cermin yang sudah ditampal pada almari.

Refleksi wajah Masyi di bahagian bawah cermin.

“Nasib tak baik apabila cermin yang retak tu disusun di bahagian paling atas yang mana kalau berdiri di hadapan cermin, di situlah bahagian muka.

“Bila tengok refleksi muka sendiri kat cermin tu, memang tak kenal wajah tu. Mula-mula rasa takut bila tengok muka sendiri,” ujarnya yang lebih mesra disapa Masyi.

Bila kawan beritahu imej tu macam rupa The Grinch, terus saya mengiyakan dan ketawa.

SITI MASHITA ZUL ATFI

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, rasa takut bertukar lucu apabila wajah yang ‘muncul’ pada refleksi di cermin tersebut mengingatkannya kepada satu makhluk aneh.

“Masa tu saya tak pasti siapa atau apa, tapi seperti pernah lihat di TV. Bila kawan beritahu imej tu macam rupa The Grinch, terus saya mengiyakan dan ketawa,” katanya yang merujuk watak filem fantasi dari Amerika Syarikat, yang dimainkan oleh pelakon, Benedict Cumberbatch.

Watak The Grinch (kiri) yang dimainkan oleh Benedict Cumberbatch. foto larygo.tumblr

Masyi yang merupakan pelajar perakaunan juga terpaksa melupakan hasratnya untuk menggunakan cermin tersebut berikutan refleksinya yang buruk.

“Memang tak boleh untuk berhias, apatah lagi mekap sebab refleksi yang buruk. Kalau nak betulkan tudung lagilah, sebab refleksi saja nampak senget-senget.

“Cermin tu pula tak boleh diubah kedudukannya sebab gam pelekatnya kuat dan kalau tanggalkan mungkin akan memburukkan lagi kesan retak tu,” ujarnya sambil menambah dia telah membeli cermin baharu sebagai ganti.

Masyi menjadikan cermin tersebut sebagai bahan hiburan di bilik.

Anak kedua daripada tiga beradik itu bagaimanapun tidak bercadang untuk membuat aduan mahupun menuntut bayaran balik berhubung keadaan cermin tersebut.

“Tak apalah lagipun cermin tu murah saja, RM2 sekeping. Cermin tu masa ada di pintu almari, dijadikan sebagai hiburan bersama tiga rakan sebilik.

“Bila berdiri di hadapan cermin tu, memang kami akan ketawa sebab kelakar sangat tengok rupa masing-masing yang buruk. Sekurang-kurangnya kami terhibur.

“Tapi saya serik nak beli yang baru secara online sebab risau cermin itu nanti pecah atau imej lain yang menakutkan pula muncul,” ujarnya secara berseloroh.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LV

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukViral

Sumber : mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*